Seorang wanita yang dermawan telah menghadiahkan seekor kambing kepada Loqman al-Hakim dan berpesan;
"Sembelihlah kambing ini dan berikan saya bahagian yang terburuk daripadanya untuk saya makan."
Setelah kambing itu disembelih, Loqman mengirimkan kepada wanita tersebut hati dan lidah kambing itu. Beberapa hari kemudian, wanita itu sekali lagi menghadiahkan seekor kambing dan berpesan agar dikirimkan sebahagian daripada kambing tersebut kepadanya.
Namun pada kali yang kedua ini, bukan lagi bahagian terburuk yang diminta oleh wanita itu, tetapi dia meminta bahagian yang terbaikdaripada kambing itu untuk dikirimkan kepadanya. Setelah kambing itu disembelih, Loqman tetap mengirim hati dan lidahjuga kepada wanita itu.
"Mengapakah tuan mengirimkan kepada saya lidah dan hati ketika saya meminta bahagian yang terburuk? dan mengapakah lidah dan hati juga dikirimkan ketika saya memesankan bahagian yang terbaik daripadanya?"
Tanya wanita tersebut kepada Loqman. Loqman menjawab;
"Hati dan lidah amatlah baik ketika baiknya dan apabila keduanya buruk maka amatlah pula buruknya."
Mendengar jawapan itu, mengertilah wanita itu akan maksud Loqman. Hati dan lidah itu adalah pokok segala kebaikan dan begitu juga sebaliknya. Dari hati dan lidah juga akan terbit segala kejahatan dan keburukan.
Sumber: fauzynm.e-belia.net
P/S:
Berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. رضي الله عنهما beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati."
JANGANLAH malas, bangun dan bersenam! Perkara pertama yang terlintas di fikiran anda bila menyentuh tentang tulang pastinya kalsium. Tetapi untuk mencapai tulang yang sihat anda tidak boleh sekadar mengambil nutrien yang cukup. Melakukan senaman yang betul juga penting untuk menguatkan tulang!
Sebenarnya, selain kuat, tulang juga fleksibel. Inilah sebabnya ahli gimnastik boleh melentur badan hingga ke bentuk yang tampak mustahil tanpa mematahkan tulang mereka! Tulang adalah tisu hidup, jadi ia terus bertindak kepada tekanan dari aktiviti yang dikenakan ke atasnya.
Tulang kita terdiri daripada kombinasi kolagen dan kristal mineral yang terbina daripada kalsium dan fosfat. Matriks kolagen inilah yang membenarkan tulang berkembang dan mengecut tanpa patah. Dalam kata lain, tulang anda akan bertindak balas dan menjadi lebih kuat untuk menahan tekanan yang dikenakan ke atasnya. Jika anda tidak aktif secara fizikal, tulang anda menjadi lebih lemah dan rapuh, mendedahkannya kepada risiko patah.
Impak tinggi
Apa juga senaman yang memerlukan anda mengangkat berat dan melawan graviti dapat membantu mempertingkat dan mengekalkan jisim tulang. Tekanan dari mengangkat berat serta aktiviti tolak-tarik otot akan menggalakkan pembentukan tulang, menjadikannya lebih kuat.
Senaman berimpak tinggi dan menahan berat adalah paling efektif dalam membina tulang yang kuat. Senaman bertujuan membina tulang anda, bukan mematahkannya. Aktiviti seperti berlari, melompat, mendaki, menari dan bermain permainan seperti tenis dan badminton menghasilkan impak yang sama seperti senaman menahan berat.
Senaman menahan berat impak rendah seperti berjalan dan aerobik impak rendah pula lebih sesuai bagi yang mereka yang mahu membina tulang kuat tetapi tidak boleh melakukan senaman impak tinggi. Anda juga boleh melakukan latihan ketahanan dan senaman yang menguatkan seperti angkat berat atau tekan tubi. Namun, anda perlu berjaga-jaga dan dapatkan nasihat doktor atau jurulatih peribadi terlebih dahulu untuk mengelakkan kecederaan.
Bagi yang berusia, penderitaan dari keretakan tulang akibat terjatuh boleh menjejaskan keupayaan anda untuk menjalani hidup normal. Sehingga 20 peratus mangsa yang mengalami keretakan pinggul meninggal dunia selepas satu tahun manakala dua pertiga yang terselamat pula menjadi individu kurang upaya. Di samping memastikan rumah dan persekitaran anda selamat dari risiko terjatuh, anda juga perlu mengambil inisiatif untuk memperbaiki keseimbangan dan postur badan melalui senaman. Melakukan tai chi memberikan anda lebih keseimbangan, postur dan koordinasi yang dapat membantu anda mengelak daripada terjatuh.
Senaman untuk tulang sihat boleh disesuaikan mengikut peringkat umur dan keperluan. Senaman boleh membantu membina tulang sihat ketika zaman kanak-kanak dan mengekalkannya ketika dewasa. Orang yang berumur dan kerap bersenam juga boleh menguatkan tulang dan mengurangkan risiko patah. Jadi, tidak kira berapa umur anda, atau apa juga keadaan fizikal anda, anda boleh mencari jenis senaman yang sesuai untuk diri sendiri.
Walaubagaimanapun, adalah berbahaya untuk melakukan senaman tanpa mengetahui had anda. Senaman yang berlebihan boleh menyebabkan keretakan akibat stres dan kerosakan sendi. Ada juga senaman yang boleh menyebabkan jatuh dan meningkatkan risiko keretakan tulang. Penghidap osteoporosis dan warga emas boleh meningkatkan risiko kepatahan tulang jika memulakan senaman berat tanpa mendapatkan nasihat doktor atau pakar perubatan.
Penyesuaian
Setiap senaman perlu disesuaikan mengikut keperluan dan keupayaan. Senaman selama 30 minit pada kebanyakan hari dalam seminggu adalah digalakkan jika anda mempunyai jisim tulang rendah, menghidap osteoporosis atau berusia lebih 50 tahun.
Berhati-hatilah dengan halangan lazim untuk bersenam seperti malas atau kesuntukan masa. Senaman boleh diterapkan dalam kehidupan untuk menepati keperluan dan gaya hidup anda supaya ia tidak menjadi sesuatu yang membosankan. Jadilah kreatif dan pastikan anda gembira melakukannya. Dengan ini, anda akan dapat meneruskan senaman dengan rela dan bukan separuh hati.
Membina tulang sihat adalah komitmen sepanjang hayat dan aktiviti fizikal boleh membantu anda mencapainya. Sama ada anda di rumah, pejabat atau sekolah, anda boleh memasukkan senaman untuk disesuaikan dengan gaya hidup anda. Apa yang penting, anda bergerak dan menikmati manfaatnya sepanjang hidup anda.